Selasa, 19 Oktober 2010

Melaka Mungkin Cuti Hari Khamis


Rakyat negeri ini mungkin mendapat cuti khas Khamis ini, sempena kejayaan Melaka mendapat status negeri maju menerusi wawasan Melaka Maju 2010 yang bakal diisytiharkan Datuk Seri Najib Razak di Stadium Hang Jebat, pada malam esok.

Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Ali Rustam ketika membayangkannya berkata, cadangan berkenaan dibangkitkan baru-baru ini, bagi menghargai sokongan padu rakyat kepada kerajaan dalam menjayakan wawasan itu sepanjang 10 tahun lalu.

“Cadangan ini akan dibincangkan dalam mesyuarat EXCO dan keputusannya hanya diumumkan pada malam pengisytiharan Melaka Maju 2010 nanti,” katanya selepas meninjau persiapan sambutan pengisytiharan itu di Stadium Hang Jebat, petang semalam.

Hadir sama, Setiausaha Melaka Maju 2010, Datuk Zainal Hussin; Ahli Dewan Negara, Datuk Akbar Ali dan Datuk Bandar Melaka Bandaraya Bersejarah, Datuk Yusof Jantan.

Pengisytiharan Melaka sebagai negeri maju akan dilakukan Perdana Menteri menerusi persidangan video dari Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) dengan Mohd Ali sambil disaksikan kira-kira 50,000 orang di Stadium Hang Jebat pada jam 8.10 malam esok.

Acara bersejarah ini akan disiarkan secara langsung menerusi TV3 bermula jam 8.07 malam.

Pengiktirafan negeri maju ini diberi Pertubuhan Kerjasama Ekonomi dan Pembangunan (OECD), sebuah organisasi berpangkalan di Paris dan dianggotai 33 negara termasuk Amerika Syarikat.
Sementara itu, Mohd Ali berkata, kajian Persepsi Melaka Maju 2010 yang dijalankan bersama Universiti Teknologi Mara (UiTM) Melaka dan Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) Melaka baru-baru ini mendapati 81.5 peratus responden, berpandangan Melaka adalah negeri maju.

Katanya, berdasarkan analisa diperoleh menerusi kajian diketuai Pengarah UiTM Melaka, Prof Madya Datuk Dr Mizan Hitam, sebanyak 83 peratus penduduk lelaki dan 80.4 peratus wanita di negeri ini berpendapat Melaka mencapai negeri maju pada bulan ini.

Sementara itu, Mohd Ali berkata, persiapan menjelang pelancaran sambutan itu sudah berada pada peringkat akhir dan raptai penuh membabitkan persembahan lebih 3,000 penari Jabatan Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Negeri Melaka turut diadakan malam tadi.

Guru Tampil Hebat Pelajar Tambah Minat

GURU perlu menjaga penampilan supaya kelihatan lebih menarik. Mereka tidak perlu berhias berlebih-lebihan, sekadar sedap mata memandang, kemas dan bersih.Bagi membantu guru tampil dengan imej sesuai dengan kerjaya, New Straits Times Press (NSTP) menganjurkan bengkel bertemakan `Guru Tampil Hebat Pelajar Tambah Minat’ berlangsung hotel Mandarin Oriental Kuala Lumpur, baru-baru ini.Program sehari yang disertai 200 guru sekitar Kuala Lumpur, Selangor dan Negeri Sembilan itu memberi peluang mereka meningkatkan pengetahuan mengenai cara berpakaian dan menjaga penampilan supaya kelihatan anggun dan menarik perhatian pelajar.

Penampilan guru adalah antara elemen penting dalam meningkatkan minat pelajar supaya lebih bersemangat dan berikan tumpuan dalam bilik darjah.Seorang peserta, Nurul Ashiqin A Razak, berkata dia bangga kerana berpeluang menyertai program berkenaan. Banyak pengetahuan mengenai penampilan diri diperoleh.Guru Sekolah Kebangsaan Jalan Enam, Bandar Baru Bangi itu berkata, sebagai pendidik penampilan penting. Pelajar akan menjadikan apa yang dipakai dan digayakan guru sebagai ikutan.“Pelajar sering meneliti apa yang dipakai atau digayakan guru ketika mengajar. Semua unsur ini menarik minat mereka untuk meneruskan proses pembelajaran,” katanya ketika ditemui pada majlis yang dirasmikan Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Noor Rezan Bapoo Hashim di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Hadir sama, Pengarah Pengedaran NSTP, Eddie H’ng, Pengurus Jenama Nestle Products Sdn Bhd, Foo Meng Keet dan Pengarah Pembangunan Perniagaan dan Pemasaran Kumpulan Jakel, Azlan Abu Bakar.Seorang lagi peserta, Mohd Arif Abdullah, berkata dia seronok menyertai program sedemikian kerana aktiviti luar rutin hariannya dapat mengembangkan minda selain bertemu rakan guru lain daripada berlainan sekolah.Pertemuan sebegini kata beliau yang mengajar di Sekolah Kebangsaan Saujana Utama, Sungai Buloh, membolehkan mereka bertukar pengetahuan dan pengalaman untuk dikongsi dan dimanfaatkan bersama.

“Banyak perkara baru dipelajari terutama dalam meningkatkan penampilan serta gaya persembahan. Walaupun ramai mengetahui kepentingan elemen ini namun ramai guru tidak mengamalkannya.“Program sebegini perlu diteruskan supaya lebih ramai guru mendapat manfaat daripadanya,” katanya.Bagi Chan Soh Wah, berkata aktiviti sebegini mendedahkan guru kepada dunia pengajaran secara kreatif dan inovatif. Katanya, ceramah motivasi dan penampilan serta pengambilan makanan seimbang daripada pakar sangat berguna dan dijadikan panduan ketika mengajar.“Pengambilan makan seimbang penting supaya guru sentiasa cergas dan sihat,” katanya yang mengajar di Sekolah Menengah Kebangsaan Bukit Jalil, Kuala Lumpur.

Antara aktiviti yang dimuatkan pada program berkenaan ialah Bengkel Gaya Hidup Sihat oleh Perunding Makanan, Indra Balaratnam, demo masakan oleh Chef Ismail dan Chef Florence, Bengkel Keterampilan Diri daripada duta Ariani Skaf & Selendang iaitu peragawati Ekin.Bengkel keterampilan diri pula dijayakan perunding kecantikan daripada Sendayu Tinggi.