Selasa, 19 Oktober 2010

Melaka Mungkin Cuti Hari Khamis


Rakyat negeri ini mungkin mendapat cuti khas Khamis ini, sempena kejayaan Melaka mendapat status negeri maju menerusi wawasan Melaka Maju 2010 yang bakal diisytiharkan Datuk Seri Najib Razak di Stadium Hang Jebat, pada malam esok.

Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Ali Rustam ketika membayangkannya berkata, cadangan berkenaan dibangkitkan baru-baru ini, bagi menghargai sokongan padu rakyat kepada kerajaan dalam menjayakan wawasan itu sepanjang 10 tahun lalu.

“Cadangan ini akan dibincangkan dalam mesyuarat EXCO dan keputusannya hanya diumumkan pada malam pengisytiharan Melaka Maju 2010 nanti,” katanya selepas meninjau persiapan sambutan pengisytiharan itu di Stadium Hang Jebat, petang semalam.

Hadir sama, Setiausaha Melaka Maju 2010, Datuk Zainal Hussin; Ahli Dewan Negara, Datuk Akbar Ali dan Datuk Bandar Melaka Bandaraya Bersejarah, Datuk Yusof Jantan.

Pengisytiharan Melaka sebagai negeri maju akan dilakukan Perdana Menteri menerusi persidangan video dari Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) dengan Mohd Ali sambil disaksikan kira-kira 50,000 orang di Stadium Hang Jebat pada jam 8.10 malam esok.

Acara bersejarah ini akan disiarkan secara langsung menerusi TV3 bermula jam 8.07 malam.

Pengiktirafan negeri maju ini diberi Pertubuhan Kerjasama Ekonomi dan Pembangunan (OECD), sebuah organisasi berpangkalan di Paris dan dianggotai 33 negara termasuk Amerika Syarikat.
Sementara itu, Mohd Ali berkata, kajian Persepsi Melaka Maju 2010 yang dijalankan bersama Universiti Teknologi Mara (UiTM) Melaka dan Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) Melaka baru-baru ini mendapati 81.5 peratus responden, berpandangan Melaka adalah negeri maju.

Katanya, berdasarkan analisa diperoleh menerusi kajian diketuai Pengarah UiTM Melaka, Prof Madya Datuk Dr Mizan Hitam, sebanyak 83 peratus penduduk lelaki dan 80.4 peratus wanita di negeri ini berpendapat Melaka mencapai negeri maju pada bulan ini.

Sementara itu, Mohd Ali berkata, persiapan menjelang pelancaran sambutan itu sudah berada pada peringkat akhir dan raptai penuh membabitkan persembahan lebih 3,000 penari Jabatan Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Negeri Melaka turut diadakan malam tadi.

Tiada ulasan: